Saturday, May 14, 2011

SIAPAKAH KITA? DARI MANA? DIMANAKAH KITA SEKARANG? AKAN KE MANA?

sumber : pejuang Islam (http://halaqah.net) ()

SIAPAKAH KITA? DARI MANA? SEKARANG BERADA DI MANA? AKAN KE MANA? APAKAH DIA ROH DAN QALBU?http://www.blogger.com/img/blank.gif

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang ertinya...


Sesungguhnya dalam tubuh anak adam itu ada seketul daging. Apabila baik ia, nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya dan apabila binasa ia (jahat ia) nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah iaitu qalbu (hati) Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a.

Dari keterangan hadith ini, dapatlah kita faham bahawa perbicaraan asal usul manusia ialah hati. Hati dalam diri manusia laksana Raja, pemerintah yang sangat ditaati oleh rakyat. Anggota lahir umpama kaki, tangan, mata, hidung, mulut, telinga, perut, faraj, zakar dan sebagainya laksana rakyat jelata yang senantiasa patuh kepada pemerintah Raja. Bila ia perintah tangan supaya menampar, nescaya menampar ia. Bila ia memerintah kaki menendang, nescaya menendang ia. Begitulah seterusnya

Hati itulah juga dipanggil (hakikat saya atau aku) Aku itu, aku ini, aku pergi kesana, saya datang kesini, rumah itu saya punya, kereta itu kepunyaan aku, aku..saya (aku) inilah sebenarnya hakikat insan kerana ia ganti nama bagi roh atau qalbu dan dialah laksana tok dalang wayang kulit sedangkan tubuh dan anggota kasar yang lahir laksana belulang kering, apabila ia bercerai dari tubuh badan kasar nescaya jadi tubuh itu sebatang kara umpama tunggul kayu menunggu reput hancur

Dialah yang akan menerima hukum pembalasan sama ada baik atau jahat di negeri akhirat. Dialah juga yang memerintah negara besar atau kecil di dunia ini. Dialah yang menakluki makhluk-makhluk menjadi hamba abdi kepadanya. Dialah yang menundukkan benda-benda jamadad (benda yang tiada nyawa) dan haiwan-haiwan taat dibawah perintahnya. Dialah punca hikmah dijadinya alam ini. Kalau tidak kerananya sudah tentu segala makhluk dan syurga neraka tidak jadi. Dia datangnya dari alam ghaib atau alam amar, oleh itu dia juga akan kembali ke alam ghaib. Ia wujud sebelum alam kasar atau alam syahadah (alam kenyataan) ini wujud. Ia ditumpangkan ke alam dunia ini tempat sementara kerana ada tujuan untuk menerima ujian. Dia datang dari alam kejadian tuhan yang aneh (rohaniah) yang tidak menerima binasa dan fana’ selama-lamanya

Dialah yang akan menanggung rasa bahagia atau celaka di akhirat. Dialah yang menerima suka dan duka dunia akhirat, dialah yang sudah mengenali tuhan di alam aruah sebelum benda-benda atau apa-apa ini dijadikan.
Dialah yang mengetahui segala hakikat sesuatu dengan tangkapan ilmunya (keadaan sifat-sifatnya) dialah yang sudah hidup, mengetahui, mendengar, melihat, berkehendak, berkuasa (sifat-sifat ma’ani) sebelum ia bercantum dengan tubuh badan kasar

Dialah yang digelar fitrahtullah yang sudah mengenali Allah S.W.T dan mengetahui agamanya dengan tidak payah belajar atau mutala’ah kitab-kitab di alam aruah yakni ia sudah mengenali segala-galanya sebelum ia dihantar (dicantum) dengan alam kasar dan malah ia pernah mengakui dan menyaksi di alam arwah bahawa tuhan yang esa itu ialah Alah S.W.T bagaimana yang diceritakan dalam al-quran dalam firman-Nya yang ertinya


Tidakkah aku ini tuhan kamu? Mereka menjawab bahkan (Al A’raaf: 172)

Dialah juga dijadikan sebab diutus Rasul-rasul ke alam dunia ini untuk mengawasi dan mengingati kembali mengenai perkara-perkara agama yang sudah manusia mengenali di alam arwah dahulu, mudah-mudahan supaya manusia tidak mengotori fitrahnya, malah hendaknya senantiasa bersih dari awal sampai akhir. Firman Allah S.W.T yang bermaksud


Dialah fitrah yang Allah S.W.T jadikan sesuai pada manusia, tidak dapat diubah-ubah lagi pada kejadian Allah, itulah agama Allah yang betul (fitratullah ialah tabiat semula jadi penerimaan agama dan ma’rifah kepada Allah) (Ar Ruum: 30)



Adapun orang-orang yang tiada menerima dan tiada mempercayai agama Allah S.W.T yang disampaikan olrh Rasul-Rasul di dunia ini, maka itulah tandanya mereka sudah mengotori fitrah bersih mereka yang asli dan sudah terpesong dari kebersihannya, dengan sebab itu mereka berhak mendapat gelaran “kufur disisi Allah” dan sewajarnya mereka kekal di dalam neraka
Dialah juga tidak dijadikan atau dihantar ke alam syahadah ini malainkan dengan ada hikmah ubudiyah iaitu beribadah dan berbakti kepada Allah S.W.T. Firmah Allah yang bermaksud


Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepada aku (Allah S.W.T) (Adz Dzaariyaat: 51)

Dari huraian-huraian tersebut itu, dapatlah kita mengerti dan faham seyakin-yakinnya (siapakah kita? Dari mana kita datang? Dimana kita berada sekarang? Dan akan kemana kita pergi?)



PERBEZAAN-PERBEZAAN QALBU, ROH, NAFSU DAN AKAL
Perkataan atau kalimah-kalimah qalbu, roh, nafsu dan akal itu tetap berbeza dan tidak serupa pada sebutan dan bentuk, tetapi pada hakikatnya adalah satu pada tujuan dan maksudnya

Perkataan qalbu ada dua pengertian:
Qalbu makna pertama
Qalbu lahir atau dikatakan hati kasar iaitu seketul daging sebesar segumpal tangan terletak didalam dada sebelah kiri manusia. Hati jenis ini berongga dan tempat mengisi dan mengepam darah menjalar keseluruh urat saraf manusia, hati ini memang dapat dilihat, dijamah dan dikerat dan dibelah dengan pisau, ia akan hancur dan busuk berulat bila ia mati. Hati jenis ini terdapat pada jenis haiwan-haiwan yang tidak berakal yang mana tidak ada nilainya sedikit pun pada sisi Allah S.W.T

Qalbu dengan makna yang kedua
Hati batin atau hati halus atau hati seni yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan tidak dapat dijamah oleh tangan dan tidak dapat dikerat dengan pisau, tetapi ia dapat dirasa oleh pengakuan batin sendiri tentang wujudnya dan ia itu ialah suatu kejadian yang latifah rabbania atau yang dapat kita bahasakan dengan hati halus atau hati seni kejadian tuhan yang rohani. Hati ini berhubung rapat dengan kerja-kerja hati kasar tadi, perhubungan kerja diantara keduanya itu ialah suatu perkara yang tidak dapat diterangkan oleh otak doktor jenis manusia kerana hati batin umpama ini datang dari kejadian alam ghaib dan hati kasar adalah dari benda-benda alam kasar ini, bandingannya ialah hati batin itu laksana raja pemerintah dan hati kasar itu laksana raja tempat ia bertakhta dan anggota-anggota lahir umpama kaki, tangan dan sebagainya laksana rakyat jelata. Ia akan patuh kepada perintah raja, hati jenis ini tidak akan busuk, berulat dan tidak akan hancur buat selama-lamanya bila tubuh bercerai dengan nyawa (ralai). Dialah yang akan menemui alam akhirat, dialah yang merasa bahagia dan berasa celaka dunia dan akhirat. Dengan hati latifah rabania inilah maka hati kasar (jantung) itu dapat hidup dan berdenyut, ia mempunyai ta’aqul dan juga sifat-sifat ma’ani dari semenjak ia dijadikannya di alam arwah yakni sebelum ia bercantum dengan alam kasar ini. Ahli-ahli falsafah dan tassawuf adalah sependapat dan menakan hati jenis ghaib itu jauhar mujarat yakni ia bukan dari jenis benda-benda jirim atau ‘arad. Bahkan ia atau zat nya dapat berdiri sendiri dan terkaya daripada tubuh badan kasar, hati dengan makna yang kedua inilah hakikat kejadian manusia yang mempunyai tanggungjawab kepada tuhan didunia dan akhirat


Perkataan Roh Ada Dua Pengertian
Roh Tabi’i
Suatu kejadian wap atau gas yang keluar dari dalam hati kasar atau jantung yang berisi dengan darah hitam. Wap atau gas itu berjalan dengan lancarnya keseluruh bahagian urat saraf dalam rongga tubuh manusia. Bandingannya samalah dengan cahaya lampu dalam sebuah rumah, ia dapat menyamapaikan cahayanya keseluruh corok dalam rumah itu, roh macam inilah digelarkan oleh doktor-doktor didunia hari ini dengan nama istilahnya (roh) tetapi penulis lebih cenderung pengertian yang diistilahkan oleh doktor itu dapat dipadankan kepada istilah bahasa melayu (nyawa) jika logik demikian maka jadilah istilah pengertian doktor itu adalah sama dengan pengertian nyawa yang ada pada jenis haiwan yang tidak berakal ititu wap atau gas yang terjadi dari angin keluar masuk dari udara kedalam jantung dan paru-paru, padahal roh yang sebenar adalah roh dari kejadian ghaib bukan dari jenis benda angin atau sebagainya, roh makna yang pertama ini tidak bernilai sedikit pun disisi tuhan

Roh Makna Yang Kedua
Kejadian dari alam keanehan tuhan yang dibahasakan latifah rabbania iaitu serupalah dengan pengertian qalbu pada makna yang kedua tadi. Oleh itu, roh dan qalbu masing-masing dengan pengertian yang keduanya adalah sama pada hakikat dalam arti yang satu iaitu suatau kejadian tuhan yang seni atau halus (latifah rabbania). Roh pengertian yang kedua ini tidak dapat diertikan sama sekali jenis otak manusia dari jenis apakah dijadikan? Dan bagaimana diramuankan?

Allah telah berfirman bahawa...


Dan mereka lagi akan bertanya kepada engkau wahai Muhammad, hendaklah engkau jawab kepada mereka bahawa roh itu adalah urusan pekerjaan tuhan (Al Israa’: 85)

Perkataan nafsu ada dua pengertian
Nafsu Makna Yang Pertama
Suatu pengertian yang meliputi segala tabiat-tabiat marah, nafsu berahi dan syahwat dan termasuk juga sifat-sifat yang dikeji umpama hasad dengki, dendam kesumat, tamak haloba, riak, dan sebagainya. Sifat tersebut sama sahaja wujudnya pada kejadian binatang dan manusia, sedikit atau banyak tetapi ia tiada sama sekali pada kejadian malaikat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

اَعَدَّى عَدَوِّكَ نَفْسُكَ الَّتِى َبيْنَ جَنْبَيْكَ
Ertinya: Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak diantara dua lambung engkau. Maksudya hati engkau yang berhawa nafsu jahat dan dengan sebab inilah datangnya syarak atau agama Allah S.W.T menuntut setiap orang supaya mencuci dan mengawasinya setiap masa dan ketika



Nafsu Makna Yang Kedua
Suatu kejadian latifah rabbania sebagaimana huraian dalam pengertian yang kedua pada qalbu dan roh yang demikian tadi. Oleh itu, kalimah-kalimah qalbu, roh, dan nafsu bolehlah dipakai kepada satu hakikat latifah yang sama pada jenis kejadian manusia dan sangatlah jauh dengan makhluk-makhluk lain yang umpama binatang. Tetapi jika di’itlaq kan nafsu itu ghalib (kebiasaan) dipakai kepada nafsu yang jahat, nafsu jahat itu apabila digosok dan dicuci dengan sabun-sabun zikrullah dan diberus dengan berus tembaga mujahadah dan ikhlas dan disiram dengan air istighfar serta dipandu dan dipimpin oleh guru yang ahli maka sedikit demi sedikit akan terkikislah sifat karat kejahatan nafsu tadi, kemudian menunggu ia ketibaan warid atau nur dari Allah S.W.T dan kemudian ia akan berpeluang pula mengecap rasa penyaksian yang kita gelarkan ia dengan hakikat dan ma’rifah. Diwaktu itu, maka nafsu jahat tadi akan bertukarlah mendapat gelaran baru iaitu mutma’innah (nafsu yang tenang) dan teguh dari mendapat godaan syaitan, dengan itu berarti ia sudah masuk kedalam darjat permulaan wali kecil. Tetapi sebelum sampai kepada maqam nafsu mutma’innah (wali kecil) maka nafsu tadi tidak dapat tidak, mesti menempuh jalan tiga peringkat

Peringkat ammarah Namanya
Nafsu yang senantiasa suka dan berselera kepada kejahatan. Nafsu peringkat ini adalah sejahat-jahat dan sehina-hina nafsu dari nafsu peringkat-peringkat yang lain

Peringkat (lauwamah) Namanya
Nafsu yang kerap kali mengkritik diri sendiri apabila ia jatuh kedalam lembah angkara dosa, cepat-cepat ia taubat dan meminta ampun kepada Allah serta menyesal, nafsu ini tinggi sedikit daripada peringkat pertama

Peringkat mulhimah Namanya
Nafsu yang telah bersih dari segala kekotoran hati peringkat pertama dan yang kedua tadi, oleh itu ia selalu dapat ilham-ilham yang berguna dan luar biasa. Nafsu ini lebih tinggi daripada nafsu peringkat yang kedua

Perkataan akal juga ada dua pengertian
Akal dengan makna yang pertama ini ialah
Akal dengan tabiatnya dapat memikir dan mengetahui segala hakikat sesuatu

Akal dengan makna yang kedua ini ialah
Akal yang ‘alim dengan ilmunya dan ilmunya sebagai sifat bagi akal. Pengertian seumpama ini adalah sama dengan pengertian (latifah rabbania) sebagaimana yang telah dihuraikan tadi kerana tidak mungkin apa yang dimaksudkan dengan akal itu melainkan pengertian yang kedua pada perkataan qalbu dan roh itu jua. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

اَوَّلُ مَاخَلَقَ اَللهُ تَعَالَي اَلْعَقْلُ ثُمَّ قَالَ لَهُ اَقْبِلْ فَاَقْبَلَ ثُمَّ قَالَ اَفَاَدْبَرَ
Ertinya: Mula-mula yang dijadikan oleh Allah S.W.T ialah akal, kemudian berkata Allah S.W.T kepada akal berhadap olehmu, maka berhadap ia, kemudian berkata Allah S.W.T kepadanya pergi oleh mu maka jauh ia
Jadi, dengan huraian-huraian tadi, jelas kepada kita bahawa apa yang dimaksudkan dengan kalimah-kalimah qalbu, roh, akal dan nafsu yang berlain-lainan rupa bagaimana yang terdapat dalam hadith-hadith dan ayat-ayat Al-Quran itu adalah satu arti jua pada hakikatnya iaitu latifah rabbania yang dibahasakan kepada rohani jua, cuma yang berlainan ialah bentuk dan sebutan kalimah-kalimah jua kerana mengikut pandangan dan ‘iktibar dari segi perkembangan jua iaitu apabila ia kekal di dalam dzulmat syahwat dan maksiat, maka pada ketika itu dinamakan nafsu, apabila ia berasa gerun dan takut hendak melakukan maksiat dengan sebab terfikir bahawa perbuatan umpama itu suatau perkara yang dibenci Allah S.W.T dan masyarakat, maka diwaktu itu ia dinamakan (a’qad) apabila ia tenang dibawah peraturan cahaya taat, tetapi perasaannya senantiasa berbalak-balak dalam hal perkara tadbir kehidupan dunia. Maka ketika itu dinamakan (Qalbu) yang artinya berbalak-balak dan apabila ia tenang dan tetap berselera dengan Allah S.W.T serta dibukakan mata rohnya (basirah) dan disyuhudkan nur aslinya maka pada ketika itu ia dinamakan (Roh). Disana terdapat pula (Sir namanya) iaitu apabila ia (nafsu) sudah bersih dari tarikan tabiat jahat hingga terjadi ia sebagai rahsia dan sir semata-mata, maka diwaktu itu dinamakan (Sir) tetapi semua nama-nama istilah itu tidak lari dari satu hakikat jua iaitu (latifah rabbania) namanya. Inilah dia latifah rabbania satu daripada rahsia-rahsia yang datang dari alam ghaib Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T yg ertinya

Katakanlah wahai Muhammad roh itu satu daripada urusan rahsia-rahsia alam tuhan yang ghaib (Al Israa’: 85)

Daripada Anas r.a. berkata, bersabda Rasulullah saw., "Selagi akan ada di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq".
H.R. Ibnu Ady

Berikut adalah antara komen2 yang agak menarik untuk dikongsi bersama

1)oleh : saudara Intizhar
Di atas IzinNya dan RahmatNya..Alhamdulillah syukur kita di atas segala PenciptaanNya....

Hampir jarang manusia menyedari akan dirinya sebenarnya sangat luas, akan tetapi kesedaran ini telah lama bermain-main serta menyulitkan, sehingga menyesatkan fikiran kita yang menganggap bahawa diri kita sebatas apa yang tergambar secara kasat mata memandang dan menilainya...

Kebanyakkan kita masih terkeliru dengan pengertian qalb, nafs ( jiwa ) dan Ruh....

kekeliruan kita apabila cuba mengandaikan seperti pada kata qalb, di terjemahkan menjadi hati...seakan-akan hati itu berlapis-lapis, contohnya hati nurani, hati dalam,, hati kecil dan bermacam lagi istilahnya...begitu juga dgn nafs yang di sifatkan jiwa,..padahal badan wadag ( tubuh fisik ) inipun di sebut nafs wujud kasar / tubuh kasar...secara ringkasnya....ada sebanyak 132 ayat yang menceritakan bab qalb di dalam Al Quran. seperti FirmanNya dalam Surah ( Al Anfaal : 24 )

Sebenarnya qalb itu sifat dari jiwa,..yang berubah-ubah ( berbolak-balik ), adakalanya bersifat amarah, lawamah dan mutmainnah..( Al Fajr : 27-28 ) dan untuk mencapai maqam kamil mukamil sebenarnya hanya layak Baginda RasulAllah saw sahaja..teristimewanya Muhammad itu ( terpuji )...

Nafs itu ada beberapa maknanya,...memiliki pancaindera, berkaitan hawa, sentiasa cenderung kepada asal kejadiannya iaitu saripati tanah ( Al Mukminun : 12 )..ketika kekurangan energinya atau kekurangan unsur-unsur asalnya, maka ia segera akan mencari atau secara naluri ia akan berkata saya lapar..saya dahaga...

Qalb, Nafs ( jiwa & fisik ) berlainan dengan Ruh..kerana kejadian Ruh tiada siapa pun tahu, para iblis, malaikat juga tidak tahu, dan pada mulanya menjadi hairan apakah gerangan manusia itu sebaik-baik kejadian..Ruh bukan tercipta dari unsur alam mahupun sama dengan jin atau malaikat..Rahsia Ruh ini Allah tegaskan seperti FirmanNya ( Al Isra' : 85 )..dan lagi ( Al Hijr : 28-29 )...

Ruh adalah rahsia Tuhan yang di tiupkan kepada Nafs ( jiwa atau badan )..Ruh ini biasanya menyebut dirinya " aku "..aku naik saksi, aku solat, aku berpuasa, aku membayar fitrah, aku mengerjakan Haji,,,aku..aku..aku tahu kebohongan dirinya, aku tidak tidur, aku tahu kemunafikan dirinya, aku tahu keegoan dirinya, rasa kebencian dirinya, kerinduan dirinya, aku sentiasa sedar dll...

Mengapa demikian..?? " aku " tidak pernah mengikuti kehendak nafsunya, tidak pernah berkompromi langsung malah menyetujuinya..aku datang dari Hadrat Ilahi dan akan kembali kepadaNya " Inna lillahi wainna ilahi raji'un "...

Bicara sebegini rupa semestinya bukan sekadar dari ilusi mahupun kesimpulan-kesimpulan intelektual semata-mata, tetapi mesti merasainya, keberadaan maqhluk adalah " tiada "...bukan setakat gunung hancur luluh, malah Nabi Musa pun jatuh pengsan.. ( Al A'raaf : 143 ),...apatah lagi kita, semuanya di atas IzinNya dan RahmatNya....

Mari kita memerhati dan berfikir akan FirmanNya ( Al Dzaariyaat : 21 ) dan ( Al Qiyaamah : 14 )..

Marilah sahabat serta saudaraku, hendak lah kita sentiasa berdzikir mengingati pada Allah dan berselawat pada Nabi,...Amin Ya Rabbal 'Alamin...

@) oleh : Saya Hamba

Sejahtera ke atas semua .. Allah sentiasa merahmati dan memberkati kalian

SIAPAKAH KITA? DARI MANA? SEKARANG BERADA DI MANA? AKAN KE MANA?

mudah je .... dengar cakap .... ikut perintah ....

kalau hidup yg dijalani terasa bahagia walaupun teruji @ diuji maka insyaAllah ... itu tanda keberadaan diri

mahu tak mahu kita semua kena lalui ketentuan-NYA so laluilah ngan baik tanpa menghina org lain serta org2 terdahulu

bermasalah @ tak berdaya maka berdoalah ... Ya Allah tiada daya dan upaya kami tanpa bantuan-NYA

diberi rasa masalah tu tanda mudah untuk berdoa/berzikir

Allah Maha Mendidik ....

Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Org yg memulakan salam adalah terlepas drpd sifat sombong & takabbur" (Riwayat Al-Baihaqi & Al-Khatib)

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Dosa yg paling besar ialah syirik, derhaka pada ibu bapa & membunuh org tanpa hak" (Riwayat Anas r.a.)

lagi oleh : Saudara Intizhar

Di Atas IzinNya dan RahmatNya..Alhamdulillah syukur buat segala Penciptaan dan KetentuanNya...

Bicara keberangkalian mudah, melaksanakannya perlu pengorbanan di atas usaha yg bersungguh-sungguh seperti FirmanNya ( Al Insyiqaaq : 6 )

dan pada menyatakan Kebenaran Al Quran itu sendiri menanamkan sifat manusia untuk menjadi manusia berfikir akan anugerahNya ( afala tatafakkarun ).., menggunakan Aqal ( afala ta'qilun ) dan meneliti ( afala tandzurun )..bahkan Berfikir itu lebih baik dari ibadah seribu rakaat ( Al Hadith ).

sebab ilmu-ilmu pengetahuan bersifat nisbi ( berubah-ubah ),..akan tetapi berpikir merupakan jalan untuk mengetahui lebih jauh dan dalam lagi dari apa yg di perolehi sekarang..

SIAPAKAH KITA? DARI MANA? SEKARANG BERADA DI MANA? AKAN KE MANA?

Kita hanyalah saksi ( syahid ) atas Pekerjaan Allah yang Maha Sempurna..dan kita juga hanya diam terpaku dalam Kesibukan Allah ( Af'alullah )..Allah yang Mengajar kita, Allah yang Mengatur serta Mencipta Segala-galaNya... ( QS An Nahl : 78 )..

Alhamdulillah hari ni dapat ilmu baru lagi ^^,

No comments:

Post a Comment

 
Designed by Lena Graphics by Melany