Monday, May 16, 2011

13 WASIAT RASULULLAH S.A.W KEPADA SAIDINA ALI



IBNU ABBAS meriwayatkan, Ali Abu Talib berkata: Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah saw bersabda kepadaku, dengan menyatakan 13 wasiat khusus untukku:



1) Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).



2) Wahai Ali, janganlah engkau memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah. Sesungguhnya, itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.



3) Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar: Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta (Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman, bermaksud : Hai malaikatKu, sesungguhnya hambaKu ini mengetahui tiada yang mengampunkan dosa, melainkan Aku. Hai malaikatKu, jadilah saksi, bahawasanya, Aku mengampuni dia.



4) Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya, berdusta

itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan bahawasanya, benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya benar itu berkat dan dusta itu celaka.



5) Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-domba. Bahawasanya, orang berbuat demikian itu, diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.



6) Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah menjadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya, Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.



7) Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya, Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.



8) Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya, perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.



9) Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencungkil gigi. Bahawasanya, bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencungkil gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi, tidak dicungkil selepas makan.



10) Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah. Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah ke atas hamba-Nya. Pertahankan diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.



11) Wahai Ali, perhitungkanlah kurniaan Allah yang engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau beroleh peruntukan daripada Allah.



12) Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau, maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.



13) Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.

No comments:

Post a Comment

 
Designed by Lena Graphics by Melany