Sunday, November 25, 2012

*Bintang Fajar*

Gambar Hiasan

Assalamu'alaikum wbt..Sobahal khair? harapnya kalian sihat wal 'afiat insyAllah biiznillah.
Di pagi isnin yang damai dan hening ini (subhanallah!) nyaman rasanya. Tubuh pun berasa segar disapa puputan bayu lembut. Alhamdulillah masih diberikan antara nikmat terbesar, yakni nikmat nyawa, iman dan islam.

Seusai bersahur tadi, sempat aku menunaikan solat sunat taubat 2 rakaat sebelum masuknya waktu subuh. Azan berkumandang syahdu. Segera aku keluar ke balkoni apartment sewaku untuk mendengar alunan gemersik itu lebih jelas lagi dan menjawab setiap bait-bait panggilan agongNya. Kutebarkan pandangan sekeliling melihat keindahan alam di waktu fajar, kenderaan di lebuhraya kelihatannya masih sedikit, jauh bezanya seperti di waktu puncak.

Puas dengan panorama indah ini, ku lemparkan pula pandanganku ke langit yang terhampar luas bagai tiada penghujungnya. Maha Suci Allah! Sesungguhnya Dialah Dzat yang menciptakan langit dan bumi. Kelihatan beberapa butir bintang kecil indah berkelip di langitNya. Sudah lama aku tidak melihat panorama indah sebegini. Walaupun jumlah nya sedikit, namun ku berasa asyik dan puas melihat ciptaan indah itu.

Segera ku bertadabbur dan bermonolog sendirian. Bintang yang kulihat kini adalah bintang yang telah terwujud sejak berjuta tahun yang lalu. Kemudian tercetus satu persoalan di benakku, 'kenapa bintang ni berkelip?' Setelah menunaikan solat sunat rawatib dan fardhu subuh, minda kecilku menyuruhku bertanya kepada Haji Google.

Sebenarnya, bintang memancarkan energi (tenaga) secara relatif setiap saat. Jadi perubahan yang terjadi bukanlah disebabkan oleh bintang itu sendiri. Tetapi penyebab utama adalah kerana bumi mempunyai atmosfera. Lapisan udara yang mempunyai suhu yang berbeza-beza menyebabkan lapisan-lapisan udara tersebut bergerak-gerak dan ia mewujudkan trubulance. trubulance boleh diibaratkan seperti ombak atau gelombang yang terjadi di laut, lebih kurang seperti fenomena pembiasan. Ketika cahaya menembusi atmosfera bumi, cahaya bintang akan dibiaskan oleh lapisan udara yang bergerak-gerak tadi.  Oleh itu, posisi bintang itu akan kelihatan berubah-ubah (fenomena pembiasan). Pun begitu, oleh kerana perubahannya terlalu kecil untuk dikesan mata kasar kita, maka apa yang kita lihat adalah kerlipan.

Teringat pula kepada saudara-saudara kita di Tanah Suci Gaza, adakah mereka juga mempunyai kesempatan yang sama untuk memerhatikan kerlipan bintang di langit yang sering dicerobohi letupan-letupan ganas oleh rejim zionis laknat?? Sama-samalah kita mensyukuri nikmat kita di sini dan mendoakan mereka agar sentiasa dikurniakan semangat jihad yang kuat dan dilindungi Allah. Aminn.

Notakaki : Ayat agak bersastera kali ini. Alhamdulillah mungkin disebabkan ilham yang menerjah secara tiba-tiba di waktu barakah ini. Semoga dapat mempertingkatkan lagi mutu penulisan ini. Mohon doa dari sahabat semua. =)

No comments:

Post a Comment

 
Designed by Lena Graphics by Melany