Monday, May 16, 2011

Orang Gagah Mampu Mengawal Marah



Imam al-Bukhari (no.6116) meriwayatkan bahawa Abu Hurairah menceritakan kisah seorang lelaki yang meminta nasihat daripada Rasulullah SAW, Baginda lalu menjawab: "Jangan marah." Lelaki tersebut mengulangi soalannya, Rasulullah menjawab: "Jangan marah." Soalan itu diulang lagi beberapa kali, namun Baginda tetap mengulangi jawapan yang sama.

Dalam riwayat Imam al-Tirmizi (no.1943), lelaki itu berkata: "Ya RAsulullah, berilah nasihat kepadaku dan jangan pula terlalu banyak, moga aku senang memahaminya." Lantas Baginda SAW menjawab: "Jangan marah."

Menurut Sheikh Sa'id Hawa dalam kitab al-Mukhtaslas fi Tazkiyyah al-Anfus, tiada manusia boleh terlepas daripada marah. Rasulullah SAW sendiri pernah marah, bahkan Allah juga turut murka dalam situasi tertentu. Oleh sebab itu, kita mesti memahami bahawa ada marah yang dibenarkan oleh Islam dan ada juga marah yang dilarang.

Marah semata-mata kerana nafsu yang mendorong kepada tindakan-tindakan yang dilarang oleh syarak seperti memaki hamun, mencederakan, menyakiti, khianat dan sebagainya adalah marah yang dicela oleh agama. Ia sudah pasti membawa kesan buruk yang berpanjangan. Adapun perasaan marah yang timbul apabila melihat agama diperlekeh, aqidah dipermainkan, syariat diejek serta ajaran-ajaran Rasulullah SAW dihina, maka marah itu adalah tanda kekuatan iman dan sangat dipuji dalam agama.

MARAH: PINTU MASUK SYAITAN,,AWAS!!

Ketika membicarakan berkenaan pintu-pintu yang digunakan oleh syaitan untuk masuk dan menguasai hati manusia, Imam al-Ghazali menyenaraikan marah sebagai pintu pertama. Tindakan-tindakan yang lahir daripada keadaan marah yang tidak terkawal meninggalkan kesan yang sangat besar dalam kehidupan seseorang. Lihatlah orang yang mempunyai resmi panas baran, adakah dia disenangi oleh orang sekelilingnya? Bahkan mungkin tidak ramai yang ingin berkawan dengannya.

Majikan yang selalu memarahi pekerjanya mungkin ditaati secara luaran sahaja, tetapi kebencian tersemat di lubuk hati para pekerja. Anak-anak mungkin diam apabila sering dimarahi, namun perasaan marah atau dendam terhadap ibu bapa mula berputik. Dan pelbagai situasi lagi yang dialami oleh manusia menunjukkan betapa relevannya nasihat Rasulullah SAW yang diulangi berkali-kali, iaitu "Jangan marah".

BAGAIMANA MENJADI ORANG YANG GAGAH?

Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sepotong hadis riwayat al-Bukhari (no.6114) dan Muslim (no.2609) yang bermaksud: "Tidaklah seseorang itu dikira kuat dan gagah apabila ia menang bergusti, tetapi seseorang dianggap benar-benar kuat dan gagah apabila ia mampu mengawal dirinya ketika marah." Jadi, kita perlulah berusaha untuk menjadi kuat dengan melawan dan mengawal perasaan marah apabila ia menjelma.

Syeikh Ibn Uthaimin menyebut dalam Syarh Riyad al-Salihin dengan membuat kesimpulan daripada beberapa buah hadis yang berkaitan dengan marah di mana beliau menyatakan bahawa apabila seseorang itu marah, maka ia hendaklah menyebut: "a'uzubillahiminasyaitanirrajim" dan kemudiannya berwudhuk. Sekiranya sedang berdiri, maka hendaklah ia duduk dan sekiranya sedang duduk, dia hendaklah berbaring. Sekiranya dibimbangi masih tidak dapat mengawalnya, maka dia perlu beredar dari tempat atau orang yang dimarahinya itu.

Dalam kitab Fath al-Bari pula, al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan pandangan Imam al-Tufi yang menyatakan bahawa cara yang paling berkesan untuk mengawal perasaan marah adalah dengan menghadirkan tauhid yang hakiki dalam hati bahawa setiap perkara yang berlaku itu adalah ketentuan Allah SWT dan setiap orang yang melakukan sesuatu adalah pelaksana terhadap ketentuan tersebut.

Sekian, Wallahu'alam ^^,

No comments:

Post a Comment

 
Designed by Lena Graphics by Melany