Monday, May 16, 2011

kisah Abu Sufyan yang menentang Rasulullah SAW selama 20 Tahun dan Akhirnya menjadi Seorang Hamba yang begitu Tawadhuk



Pemuda pemudi Islam,

Sebagai manusia kita tidak pernah terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Namun ianya tidak boleh menjadikan alas an kepada kita untuk tidak berpatah balik kepada Jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Justeru mari kita menjadi hamba yang bersyukur. Allah SWT telah mengurniakan kepada kita nikmat Islam dan nikmat Iman. Dengan kedua nikmat terbesar inilah kita membesar menjadi muslim rabbani. Sekeras manapun hati kita, sebesar manapun dosa kita, kembalilah semula kepada fitrahmu, menjadi hamba yang bersyukur. Firman Allah SWT:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa..” (Ali Imran: 133)

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Ali Imran: 135)



Kepada pembaca(termasuk saya), bersyukurlah kerana dalam diri anda masih ada iman, sehingga ia menggerakkan diri anda untuk kembali kepada Allah SWT. Janganlah berputus asa dengan rahmat dan keampunannya. Bersegeralah berlari kepadaNya…

“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hambaKu yang sudah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga yang maha pengampun, lagi maha mengasihani.” (az-Zumar, ayat 53)

Mari kita menelusuri jalan panjang kisah seorang sahabat Rasulullah SAW yang pernah menentang dakwah Rasulullah SAW hampir 20 tahun. Ya! 20 tahun beliau bermusuhan dengan Rasulullah SAW! Tidak ada satu jenis siksaan ke atas orang Islam melainkan dilakukan dan dikenakan. Sedangkan beliau adalah sepupu Rasulullah SAW. Sahabat rapat Rasulullah SAW sebelum kenabian Baginda. Beliau adalah Abu Sufyan al-Harits.

Apakah masih ada harapan untuk manusia yang bernama Abu Sufyan ini menerima cahaya setelah bergelumang dan bermaharajalela dalam kegelapan? Sesungguhnya pintu hidayah Allah SWT ada di mana-mana. Beliau akhirnya diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk merasai nikman Iman dan nikmat Islam. Merasai berada dalam cahaya kebenaran. Walaupun pada peringkat awal kemasukan beliau tidak diraikan oleh Rasulullah SAW sendiri, namun beliau tidak pernah putus asa membuktikan kecintaan dan kebenaran beliau menyertai pasukan kebenaran.

Ketika peranag Hunain, Rasulullah SAW telah keluar bersama ribuan para sahabatnya untuk berhadapan dengan tentera musuh. Abu Sufyan juga turut serta dalam peperangan tersebut. Bezanya kali ini berada bersama dalam pasukan Rasulullah SAW. Tatkala melihat gerombolan tentera musyirikin yang ramai, Abu Sufyan berkata:

“Demi Allah hari ini saya akan menghapuskan kesalahan saya yang lalu kerana memusuhi Rasulullah SAW. Nabi pasti akan melihat hayunan kilauan pedang saya yang dapat meraih keredhaan Allah dan keredhaan Baginda.”

“Saya ingin mati syahid di sisi Rasulullah SAW. Satu saat saya segera mengambil kedudukan saya di sebelah Baginda SAW. Tangan kanan saya menghunus pedang mempertahankan Baginda SAW. Sementara tangan kiri memegang tunggangan Rasulullah SAW.”

“Rasulullah melihat kepahlawanan saya lalu bertanya kepada al-Abbas: “Siapa lelaki ini?”

“Ini saudara sepupumu, Abu Sufyan bin al-Harits. Maafkanlah dia wahai Rasulullah,” jawab al-Abbas.

“Saya telah maafkan. Semoga Allah mengampunkan semua permusuhannya terhadapku,” jawab Rasulullah SAW.

“Hati saya bagaikan terbang kegirangan lantaran Rasulullah SAW telah meneriman dan memaafkankan saya. Saya segera mengucup kaki Baginda yang sedang berada di atas tunggangan.”

“Rasulullah SAW berpaling ke arah saya dan bersabda: “Wahai saudaraku, demi umurku, ayuh mara dan bertarunglah!”

“Kata-kata Baginda SAW tersebut membakar semangat semangat saya. Saya mara menyerang musuh sehingga kedudukan mereka goyah dan mundur.”

Demikianlah usaha beliau, beliau kini dimuliakan oleh Rasulullah SAW. Namun Abu Sufyan tidak pernah sekali-kali mengangkat mukanya kepada Baginda SAW. Beliau juga tidak mampu menatap wajah Baginda lantaran malu dan segan kerana tindakannya yang lampau terhadap Baginda SAW.

Pemuda pemudi Islam…

Belajarlah dari serah para sahabat, bagaimana mereka kembali menjadi hamba kepada Allah SWT setelah bergelumang dalam kegelapan. Abu Sufyan yang lebih 20 tahun pernah menentang Rasulullah SAW terus dihimpit penyesalan terhadap detik-detik hitam yang telah beliau lalui ketika jahiliah. Lantas beliau siang malam asyik membaca al Quran. Beliau cuba memahami hokum-hukum dan mengecapi peringatan al Quran.

Abu Sufyan menghambakan diri kepada Allah SWT. Hinggakan suatu hari RAsulullah SAW melihat beliau masuk ke masjid, lalu Baginda bertanya kepada Aisyah RA: “Adakah kamu kenal siapa lelaki ini wahai Aisyah?”

“Tidak.” Jawab Aisyah.

“Beliau adalah sepupu saya, Abu Sufyan bin al-Harits. Ketahuilah, beliaulah orang pertama yang masuk ke masjid dan orang yang terakhir keluar dari masjid. Pandangan matanya tidak pernah renggang daripada memandang tali sandalnya (dia sentiasa dalam keadaan tunduk tawadhuk).

Subhanallah, indahnya tatkala cahaya Iman meresapi dalam dirinya. Ianya mampu mengubah sang manusia menjadi hamba yang sebenar. Ayuh, mari kita proses hati kita dengan keimanan, agar setiap saat dan detik, kita sentiasa kembali menjadi hamba. Mari kita menjadi hamba Allah SWT. Berubahlah dari sekarang!

sumber : Langit Ilahi

No comments:

Post a Comment

 
Designed by Lena Graphics by Melany